Menurut pengarang “Sejarah Melayu” (atau “Sulalat u’s-Salatin”), Sultan Alauddin Riayat Syah naik takhta selepas kematian bapanya Sultan Mansur Syah. Dia dikatakan seorang yang “sangat perkasa”. Tatkala Melaka diganggu oleh masalah pencuri terlalu mengganas, pengarang “Sejarah Melayu” itu telah menceritakan bagaimana pada suatu malam Sultan Alauddin telah keluar menyamar sebagai pencuri dengan ditemani oleh Hang Isub dan Hang Siak (lihat “Sulalat u’s-Salatin” naskhah Krusenstern (2016: bab 19) dan berkeliling negeri Melaka kerana hendak melihat keadaan negeri. Menurut pengarang “Sejarah Melayu” juga Sultan Alauddin telah terserempak dengan lima orang pencuri yang sedang mengangkat sebuat peti. Oleh Sultan Alauddin pencuri-pencuri itu pun diusirnya bersama Hang Siak. Seorang pencuri yang lari ke bukit dapat dibunuh oleh raja itu. “Putus pinggangnya seperti timun”. Seorang lagi dibunuhnya di bawah jambatan. Hang Siak pula berjaya membunuh seorang lagi di hujung jambatan. Walau bagaimanapun pencuri yang tinggal dua orang lagi itu sempat melarikan diri. Dipendekkan cerita, peristiwa Sultan Alauddin membunuh pencuri itu telah menjadi pengajaran kepada orang besar-besar di istana, khasnya Temenggung Seri Maharaja, kerana cuai menjalankan tugas. Selepas itu Seri Maharaja pun menjalankan tugasnya dengan ketat sekali. Jika ada orang berjalan pada malam hari langsung dibunuhnya. Dan sejak itu, menurut pengarang “Sejarah Melayu”, kejadian mencuri di Melaka pun berhenti.
Kisah ini terdapat dalam semua versi “Sejarah Melayu”. Tetapi benarkah Sultan Alauddin telah keluar malam dan membunuh pencuri? Yang lebih penting ditanyakan ialah, benarkan Sultan Alauddin memerintah Melaka selama 33 tahun (jika menurut “Sejarah Melayu” versi naskhah Raffles no. 18)? Jika sumber “Ming Shi-lu” dirujuk, maka ternyata Sultan Alauddin naik takhta pada tahun 1477 iaitu selepas kematian bapanya, Sultan Mansur Syah. Pada 23 Ogos 1481 “Ming Shi-lu” melaporkan bahawa Lin Riong dan Qian Heng, dua orang utusan Maharaja China telah dikirim ke Melaka untuk tujuan pengiktirafan “Ma-ha-mu-Sha” sebagai raja Melaka, tetapi mereka terkandas dalam perjalanan. Pada bulan Jun 1484 sumber Ming Shi-lu sekali lagi melaporkan bahawa Maharaja China telah menghantar dutanya, Zhang Sheng dan timbalannya Zuo Fu membawa watikah dan hadiah sebagai tanda pengiktirafan kerajaan China terhadap Sultan Mahmud Syah “anak Marhum raja negeri Melaka” sebagai raja Melaka yang baharu. Ini bermakna Alauddin mestilah telah mangkat pada pertengahan atau awal tahun 1481.
Suatu kenyataan yang menarik tentang usia Sultan Alauddin ketika menaiki takhta kerajaan Melaka terdapat dalam sepucuk surat yang dikirim oleh Raja Negeri Melaka kepada Raja Negeri Ryukyu. Surat no. XXXIX, Doc. No.. 9 yang terjemahannya diterbitkan oleh Kobata dan Matsuda (1969) menyebut pada bahagian pemulaannya:
“Kami telah dimaklumkan dengan hormatnya bahawa kemurahan hati Duli Yang Maha Mulia sangatlah melimpah-limpah. Usia beta baru enam tahun, dan beta bersyukur kerana keamanan dan kebajikan negeri kecil ini terpelihara oleh kerana berkat kuasa Ilahi. Adalah diharapkan Ayahanda Seri Paduka Raja Ryukyu berkenan memberikan beta banyak surat dan hadiah … “
Surat yang bertarikh Che’ng-hua 16/2/? [1480] itu diakhiri dengan ungkapan “Bagi pihak Raja” yang bererti surat itu ditulis oleh seorang pembesar istana (tidak diketahui siapa dia) bagi pihak raja Melaka, iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah. Berikutnya pula pada tarikh Ch’eng-hua 16/3/2 [11 April 1480] sepucuk surat kepada Raja Ryukyu telah dikirim oleh seseorang yang menyebut nama gelarnya sebagai “Lo-tso-ma-na” [Laksamana]. Sebelum tarikh surat itu ungkapan “Dirgahayu Seri Paduka” (“long live the king” menurut terjemahan Kobata dan Matsuda) telah digunakan.
Tetapi sepucuk surat yang bertarikh Ch’eng-hua 17/3/? [-1481], telah dikirim dengan hanya menyebut alamat: “Negeri Melaka meyembahkan jawapan kepada Raja Negeri Ryukyu (Kata “Raja” sebelum Negeri Melaka tidak digunakan). Pada bahagian akhir surat itu pengirim menulis: “Beta mendoakan bukit dan sungai [teluk rantau?] Tuanku akan berkekalan selama-lamanya.” Ayat ini diikuti dengan ungkapan “Dirgahayu!” (“long live”, menurut terjemahan Kobata dan Matsuda) dan disambung pula dengan ayat “Lo-so-ma-na dengan penghargaan, Ma-an Shan kepada Seri Paduka Raja Negeri Ryukyu”. Siapa dia “Ma-an-shan” sukar dipastikan. Mungkinkah nama Mahmud Syah yang silap disebut dan dieja oleh orang Ryukyu? Menurut Kobata dan Matsuda (1969: 120 n.42), ia adalah nama raja. Tetapi Kobata dan Matsuda juga menyatakan rasa anehnya kerana surat itu menunjukkan Laksamana yang mengalamatkan surat itu secara langsung kepada Raja Ryukuyu, pada hal dia hanya menulis bagi pihak raja Melaka.
Satu lagi yang aneh ialah ungkapan “Dirgahayu” telah digunakan tanpa menyebut Seri Paduka atau Raja. Berdasarkan perkara-perkara ini bolehkah kita andaikan Sultan Alauddin sudah mangkat ketika surat tahun 1481 itu dikirimkan oleh Laksamana?
Jika dibandingkan sumber Ryukyu dengan sumber “Ming Shi-lu” seperti yang disebut di atas, maka tahun 1481 sebagai tarikh kematian Sultan Alauddin Riayat Syah nampaknya munasabah juga. Ertinya, raja Melaka keenam itu hanya memerintah mulai 1477 sampai 1481. Justeru kerana itu apabila pengarang “Sulalat u’s-Salatin” mengarang kisah Sultan Alauddin, ahli sejarah hendaklah melihatnya sebagai suatu usaha pengarang “Sejarah Melayu” merekayasa sebuah episod yang bersifat cerita rekaan mengenai seorang raja Melaka yang memang wujud tetapi usia pemerintahannya sangat singkat – hanya sekitar empat tahun sahaja. Jika apa yang disebut dalam surat bertarikh Ch’eng-hua 16/2/? [1480] bahawa Alauddin berusia 6 tahun itu betul (yakni tidak tersilap dibaca dan diterjemahkan oleh penulis Ryukyu), maka berertilah kisah yang digambarkan oleh pengarang asal “Sejarah Melayu” dan usia pemerintahan selama 33 tahun yang disebutkan oleh penyalin “Sejarah Melayu” versi Raffles MS. No. 18 itu tidaklah benar sama sekali.