Dalam tempoh beberapa tahun ini, terutamanya ketika dan selepas PKP, banyak saya dengar dan berhadapan sendiri dengan kes - kes yang melibatkan kesihatan mental.
Maksud saya dengan kesihatan mental ini adalah sakit - sakit seperti kemurungan hingga memerlukan ubat, bipolar disorder, schizofrenia, anxiety, obsessive compulsive disorder dan sebagainya.
Ia adalah satu perkara yang sukar bagi mereka yang menghadapinya, dan ujian juga bagi mereka yang dekat dengan mereka yang menghadapinya, pasangan, ibu bapa, adik beradik, rakan - rakan.
Kalau sakit fizikal, boleh nampak luka, patah, atau sel kanser yang tumbuh misalnya, tapi sakit mental, tak nampak di mana yang rosak dan terlalu banyak stigma yang salah berkenaan penyakit ini.
Tak kuat, tak cukup ibadah, kurang zikir, kena buat orang adalah antara stigma biasa bagi pesakit mental.
Kalau dalam ilmu perkomputeran, ia ibarat berlaku software glitches yang amat sukar dikesan di mana kecacatan kod yang berlaku, mungkin serangan virus atau update Operating System yang menganggu fungsi asal.
Tapi dalam isu sakit mental, berlaku 'litar pintas' yang menganggu fungsi asal, hingga orang yang kita kenali lama dengan sifat tertentu, ceria, bersemangat dan penuh keyakinan misalnya, tiba - tiba mengalami perubahan drastik seperti lupa, mudah takut, tak mahu bercakap dan bertemu orang lain, berhalusinasi akibat sebab tertentu seperti minor stroke, kehilangan orang tersayang, tekanan dan kesedihan melampau, ataupun memang tanpa sebab yang diketahui.
Bagi pasangan yang dekat, kena banyak beri sokongan dan kena faham perubahan yang berlaku, umpama orang yang patah kaki perlu dipapah dan kena dibantu ke bilik air.
Bagi orang yang sakit mental, mungkin dah tak boleh memasak, mudah risau, tiba - tiba senyap tanpa sebab, mudah putus asa, hilang keyakinan diri, tak mahu makan dan sampai tahap yang ekstrim, boleh mencederakan diri sendiri.
Bagi pasangan atau ibu bapa, usahakan untuk bawa berjumpa dengan perawat kesihatan mental, bukan sekadar berzikir dan bawa ke masjid. Jaga ubat - ubatan, beri kata - kata sokongan, belaian, dan bantuan - bantuan yang perlu. Paling penting kadang tu, pinjamkan mata dan telinga untuk mendengar.
Jika pasangan tiba - tiba tak boleh memasak, usahakanlah untuk beli dahulu, atau masaklah sekali sekala, bawa pergi bercuti dan bersenam atau apa - apa jua sokongan yang boleh membantu menaikkan mood.
Hidup di dunia ini sememangnya satu ujian yang akan menentukan kedudukan kita di akhirat. Tidak akan ada yang sempurna melainkan kita telah melepasi titian Sirat dan dapat menatap wajah Allah di syurga yang tertinggi bersama para Anbiya' dan solihin.
Penafian : Pendapat yang dinyatakan di sini adalah semata-mata pendapat penulis. Mereka tidak mencerminkan pendapat atau pandangan Pendidikan Page.