Pembinaan Nasion Malaysia: Sudah kita berjaya?

Seperti diketahui, terdapat sebahagian rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang menganggap bahawa dua negeri tersebut tidak seharusnya merayakan hari ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tanggapan ini justeru kerana mereka ini melihat bahawa sebagai sebuah nasion, MALAYSIA hanya wujud apabila ia ditubuhkan pada 16 September 1963. 

Pandangan sebegini memang dikongsi oleh ramai penduduk Sabah dan Sarawak kerana ada benarnya bahawa pada tahun 1957 yang merdeka ialah Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi jika saudara-saudari berpeluang membaca fail-fail “colonial office” untuk tempoh 1942 - 1957 anda  tidak boleh tidak akan sedar betapa licik dan pintarnya British merancang secara politik pembinaan nasion yang pada hari ini disebut ‘Malaysia’. 

Sejak Jepun masih menduduki Malaya dan wilayah-wilayah Borneo lagi, British pada awal tahun 1943 telah merancang tentang apa yang mereka akan lakukan. Mereka merancang Malayan Union (tanpa Singapura) yang bererti penjajahan Tanah Melayu secara langsung oleh Raja Inggeris. Pada tahun 1943 juga telah dirancang pengambilan Sabah daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan negeri Sarawak daripada keluarga Brooke. Bahkan mereka juga merancang untuk Brunei supaya pemerintahan Brunei tidak di bawah sultan yang autocratic. Kesemua wilayah British di Asia Tenggara: iaitu Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei hendak diletakkan di bawah kedaulatan Raja British secara langsung. 

Mereka juga menyebut tentang “greater Malaya” (CO 1022/61 no 22) . Konsep “Greater Malaya” atau Malaysia yang bermaksud gabungan antara Malaya, Singapura dan wilayah-wilayah Borneo, telah menjadi semacam projek peribadi Malcolm MacDonald sejak dia dilantik sebagai “Commissioner-General” bagi wilayah British di Asia Tenggara dari 1948 hingga 1955. Dialah yang telah berperanan mengemukakan gagasan kepada Pejabat Kolonial di London tentang kemungkinan membentuk satu unit berpemerintahan-sendiri yang menggabungkan Singapura, Persekutuan Tanah Melayu dan wilayah-wilayah Borneo. Langkah permulaan  MacDonald ialah dengan mengundang wakil-wakil dari wilayah-wilayah Borneo dan Persekutuan hadir pada majlis pengangkatan John Nicoll sebagai Gabenor Singapura pada April 1952 dan ke mesyuarat parlimen komanwel tempatan. MacDonald sangat komited dalam usahanya untuk mewujudkan penggabungan Malaya, Singapura dan wilayah-wilayah Borneo dalam sebuah “Dominion of Southeast Asian States”. Dia mendapat sokongan daripada C.C. Tan pengasas Parti Progresif di Singapura dan juga Dato’ Onn Jaafar, pemimpin Independence of Malaya Party (Parti Kemerdekaan Malaya).

Pada tahun yang sama (1952), Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi Malaya pada waktu itu, pun telah membangkitkan konsep “Southeast-Asia Dominion” ini. J. J. Paskin, Setiausaha Rendah Negara di London menyatakan bahawa sejak 1945 memang menjadi dasar Colonial Office untuk mewujudkan “closer association between (a) the Federation and Singapore and (b) the three Borneo territories; and that there was ‘hope’ that there would ultimately be a union of the Malayan and the Borneo territories.

British memang mahu mewujudkan pada akhirnya sebuah konfederasi seperti kewujudan Malaysia sekarang ini kerana British bimbang kalau-kalau wilayah-wilayah Borneo akan diambil alih oleh Indonesia. Kata J D Higham, Penolong Setiausaha di Pejabat Kolonial dan Ketua bahagian Asia Tenggara, “I can see little future for a self-governing Sarawak or North Borneo or even for a self-governing Colony of British Borneo plus Brunei.’ Dia menganjurkan supaya segala usaha dibuat untuk memajukan idea pembentukan sebuah “British Southeast Asia Dominion”.

Pegawai-pegawai di Pejabat Kolonial juga insaf pergabungan antara Malaya dan Singapura sahaja tak mungkin akan mendapat sokongan orang Melayu. Mereka tahu bahawa lebih mudah orang Melayu menerima penggabungan Persekutuan dengan wilayah2 Borneo dan Singapura. 

Gagasan bagi mewujudkan sebuah “Southeast Asia Dominion” juga kerana didorong oleh  kepentingan strategi British. Dan gagasan ini terus didukung hingga ke tahun 1953. Tetapi lantaran Malaya dan Singapura pada tahun-tahun 1950 sibuk dengan pilihanraya masing-masing maka gagasan itu terbantut buat seketika.

Pada tahun 1953 sebuah memorandum untuk perancangan bersama staf di Kementerian Pertahanan British menyatakan bahawa memang diharapkan penggabungan wilayah-wilayah Borneo dan kemudiannya diwujudkan “some form of political association” antara wilayah-wilayah Malaya dan Borneo. Dijangkakan dalam tempoh lapan ke sepuluh tahun, sebuah kerajaan Malaya atau gabungan kerajaan Malaya bersama wilayah-wilayah Borneo akan menjadi kenyataan.

Tujuan Brritish: Integrasi Wilayah demi Keselamatan Serantaunya

Saya menyebutkan peranan British dalam pembentukan Malaysia seperti yang telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman ini kerana kita harus menyedari bahawa walaupun Malaysia tidak terbentuk pada 31 Ogos 1957 namun cita-cita itu sudah wujud jauh sebelum itu. Perbincangan dan perundingan yang berlaku selepas tahun 1961 apabila Tunku menyuarakan kembali idea MacDonald itu hanyalah berupa prosedur sahaja. Konsep Malaysia itu memang sudah difikirkan British. Kemasukan Sabah dan Sarawak dan juga Brunei memang diberi perhatian. Tetapi diplomasi British yang halus tidak pernah menampilkan paksaan. Itulah sebabnya Brunei akhirnya tidak jadi masuk Malaysia, sekalipun dipujuk. Kerangka perlembagaan Persekutuan yang memang disediakan oleh British sejak tahun 1948 itu memudahkan perluasan keanggotaannya. Ini bererti Persekutuan yang bakal dibentuk itu boleh saja menerima ahli-ahli baru yang ingin berada di dalamnya.

Sudahkah lahir Integrasi Wilayah Nasional Malaysia?

Sehingga kini masih timbul suara-suara yang menentang perayaan Hari Ulang Tahun kemerdekaan pada 31 Ogos atas alasan apabila Malaysia dibentuk, Persekutuan Tanah Melayu telah bubar. Memang benar, tetapi kerangka politik yang disediakan oleh British itu merupakan satu idea. Idea kemerdekaan itu menjadi nyata pada 31 Ogos 1957. Masuk atau keluarnya mana-mana anggota ke dalam atau dari kerangka Persekutuan itu boleh saja berlaku. Ibarat sebuah keluarga yang telah sedia wujud, kelahiran anak-anak atau kehilangan seorang anak adalah perkara yang biasa berlaku kepada mana-mana keluarga.

Perbalahan atau perbantahan untuk menafikan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 sebagai sebuah negara, atau  keluarga awal atau keluarga induk, hanya membuang masa saja. Amerika Syarikat boleh saja menerima anggota-anggota baru selepas 1776 ---  tarikh kemerdekaannya. 

Yang lebih penting bagi orang Sabah, Sarawak,  atau orang Melaka atau orang Terengganu ialah menghayati dirinya sebagai orang Malaysia. Harus difikirkan nasib kita sebagai sebuah nasion bukan hal-hal parokial yang sempit. Yang penting bagi kita ialah erti kemerdekaan itu, bukan sebagai orang Sabah tetapi sebagai rakyat Malaysia. Yang harus kita persoalkan ialah: apakah negara kita sudah wujud sebagai negara yang berwibawa dalam menghadapi cabaran dan tantangan bernegara, yakni pembinaan nasion?

Apakah sudah terjamin hidup kita sebagai rakyat sebuah negara yang menegakkan hukum-hukum asas – yakni :

  • bebas daripada kemiskinan dan kelaparan?
  • bebas daripada belenggu rasuah yang merosakkan negara?
  • bebas daripada ketidakadilan undang-undang?
  • bebas daripada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa?

Kebebasan yang kita mahukan ini adalah juga kebebasan yang diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia. Masyarakat Madani atau Civil Society yang ingin kita bina tidak terkecuali kepada Sabah dan Sarawak sahaja.    

Di negeri-negeri lain pun masalah menegakkan masyarakat madani ini sering di kelabui oleh isu-isu yang boleh menambahkan polarisasi kaum.

Ada persepsi bahawa Malaysia hanyalah untuk satu-satu kaum sahaja. Ada persepsi bahawa kaum-kaum tertentu tidak menunjukkan kesetiaan kepada raja, negara, bahkan lagu kebangsaan. Ada persepsi juga bahawa kaum-kaum tertentu tidak cekap berbahasa Malaysia, bahkan kelihatannya memperlecehkan bahasa kebangsaan dan meremehkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Pokoknya, sesudah hampir 60 tahun usia pembinaan nasion dijalankan masih ramai rakyat yang tidak boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan dengan baik.

Sesudah lebih setengah abad Malaysia terbentuk dan hampir 60 tahun kemerdekaan diraih, nampaknya sistem sekolah kebangsaan tidak berjaya meningkatkan kualiti pelajaran dan mempertahankan polarisasi kaum. Apakah ini tidak melibatkan semua orang Malaysia - bukan Sabah dan Sarawak sahaja? 

Soalnya sekarang: Bukan saja dipertanyakan di manakah Sabah dan Sarawak masa kini, tetapi yang lebih utama: Di manakah kita sebagai sebuah nasion?

Dan bagaimanakah nanti masa depan kita yang semakin tertekan oleh polarisasi  kaum dan budaya korupsi?

Sabah dan Sarawak memiliki kekayaan alam semula jadinya yang tak ternilai. Kedua negeri itu juga boleh berbangga dengan kehadiran suku-suku kaum peribuminya. Tetapi polarisi kaum kelihatannya lebih mencolok di Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak boleh berbangga tentang hal ini.

Toleransi dalam masyarakat majmuk perlu diserapkan sebagai sebahagian daripada doktrin kita bernegara. Memang kemiskinan di Sabah dan Sarawak masa kini adalah sesuatu yang perlu ditangani tetapi ia harus dilihat sebagai masalah nasional.

Namun, senjata yang paling ampuh untuk membasmi kemiskinan ialah pendidikan. Peningkatan mutu pendidikan bergantung kepada kesedaran masyarakat. Alangkah baiknya jika para jutawan di Malaysia ini sensitif terhadap masalah ini dan cuba memberikan sumbangan masing-masing dalam bidang pendidikan.

Kualiti sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu diberikan tumpuan khusus oleh pemerintah pusat dan negeri kerana  masa depan negara sangat ditentukan oleh kualiti pendidikan.  Betapapun juga, untuk menghadapai masa hadapan, yang perlu ditanyakan ialah: Apakah kita sudah boleh berbangga sebagai bangsa Malaysia yang bersatu? Apakah kita boleh berbangga dengan kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak kita di sekolah, maktab dan universiti?

1 Ulasan

  1. Pandangan yang dipaparkan mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak mempunyai relevansi yang penting dalam konteks sejarah dan perasaan nasionalisme di Malaysia.

    Memang benar bahawa Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, dengan penyertaan Sabah, Sarawak, dan Singapura dalam Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali sebagai Semenanjung Malaysia). Sebelum itu, pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya daripada penjajahan British. Persoalan mengenai tarikh kemerdekaan dan penubuhan Malaysia telah menjadi topik perdebatan dalam sejarah Malaysia.

    Terdapat sebilangan penduduk di Sabah dan Sarawak yang berpendapat bahawa tarikh kemerdekaan Malaysia sepatutnya diiktiraf pada 16 September 1963, kerana itu adalah ketika Malaysia sebagai entiti negara yang baru ditubuhkan. Pandangan ini berkaitan dengan kesedaran tentang sejarah dan kepentingan politik wilayah tersebut.

    Sebelum penubuhan Malaysia, terdapat rancangan dan idea-idea British untuk membentuk sebuah entiti politik yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura dalam satu persekutuan yang lebih besar. British melihat integrasi ini sebagai satu langkah strategik untuk menjaga keselamatan dan kestabilan wilayah tersebut, terutamanya dengan kebimbangan bahawa Indonesia mungkin akan mencuba mengambil alih wilayah-wilayah Borneo tersebut.

    Pada masa yang sama, terdapat juga suara-suara yang menentang pandangan tersebut. Beberapa rakyat Sabah dan Sarawak menyatakan kerisauan tentang kedudukan mereka dalam Persekutuan Tanah Melayu, terutamanya dalam hal pengekalan identiti budaya dan politik mereka sendiri.

    Dalam konteks pembentukan negara Malaysia, adalah penting untuk menghormati pandangan-pandangan yang berbeza dan memahami kerumitan dan cabaran yang melibatkan proses tersebut. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang tarikh kemerdekaan, penting untuk memahami bahawa Malaysia sebagai negara merdeka telah melalui perjalanan sejarah yang unik dan kompleks.

    Dalam era pasca-kemerdekaan, adalah penting untuk fokus pada pembangunan negara dan keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia. Pengembangan pendidikan yang berkualiti, penanggulangan kemiskinan, dan peningkatan kesedaran terhadap isu-isu politik dan sosial adalah beberapa langkah yang penting dalam memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan berwibawa.

    Toleransi antara kaum dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya juga penting dalam memastikan keharmonian dan kesatuan di dalam negara. Pembinaan identiti nasional Malaysia yang inklusif dan saling hormat-menghormati adalah usaha yang berterusan dan perlu diteruskan oleh semua warganegara.

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama